40 tan kayu balak getah dirampas, lori tiada permit
Cubaan membawa keluar 40 tan kayu balak getah tanpa permit gagal apabila sebuah lori ditahan dalam operasi khas yang dijalankan oleh Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) di Ipoh.
Dalam operasi itu, pasukan Risik Ibu Pejabat Briged Utara PGA telah menahan dan memeriksa lori berkenaan yang disyaki membawa kayu balak getah tanpa dokumen sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori terbabit gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen sah untuk membawa muatan kayu berkenaan di dalam kawasan negeri ini.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kayu tersebut telah diambil dari beberapa lokasi sekitar negeri ini dan dimuatkan ke dalam lori tanpa sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa perhutanan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.